SHAH ALAM: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melancarkan inisiatif Solar Peralihan Tenaga Untuk Rakyat (Solar@PETRA) dan Program Solar BOLEH! di sebuah pusat membeli-belah di sini hari ini.

Ini sejajar dengan Perjanjian Paris di mana Malaysia ingin memberikan komitmen untuk bersama-sama masyarakat dunia dalam mengurangkan jejak karbon di dalam negara dan seterusnya mencapai status gas rumah kaca (GHG) sifar bersih seawal tahun 2050.

Pelaksanaan inisiatif ini bertujuan untuk memperluas serta meningkatkan pemasangan sistem solar PV dalam kalangan pengguna domestik melalui program dan skim khusus yang dirangka sebagai pemangkin untuk meningkatkan capaian.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof  berkata, pihaknya bertekad untuk terus melaksanakan semua usaha dan inisiatif yang dirancang dan dikenal pasti ke arah mengurangkan jejak karbon sektor bekalan elektrik.

“Inisiatif Solar@PETRA dan Program Solar BOLEH! telah dirangka secara khusus untuk meluaskan akses rakyat kepada skim pemasangan solar di premis kediaman.

“Ia turut akan menjadi inisiatif penaung kepada program atau skim solar yang dikhususkan untuk rakyat termasuk Program Solar BOLEH!,” ujarnya lagi.

Program Solar BOLEH! merupakan satu usaha sama antara PETRA, AEON Group, SOLS Energy dan Bank Simpanan Nasional (BSN), yang menyediakan pelbagai pilihan dan memudahkan lagi capaian rakyat kepada skim pemasangan sistem solar PV yang ditawarkan di pasaran.

Solar BOLEH!  ini juga merupakan tambahan kepada program rebat solar yang diperkenalkan Kerajaan pada awal bulan April 2024, iaitu Skim Insentif Solar Rakyat atau Solar for Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS) yang sedang dilaksanakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Tambahnya lagi, pihaknya juga terbuka untuk mengembangkan program terbabit pada masa hadapan.

“Kalau minggu lepas, apa yang saya lancarkan adalah di hospital (seperti) Prince Court dan semua hospital itu akan dipasang solar panel di bumbung, jadi saya mengharapkan lebih ramai yang akan datang ke hadapan untuk bekerjasama dengan kita dan (PETRA) akan menyokong dan bantu,” ujarnya.

Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan program Solar for Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS), bagi menggalakkan pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) oleh pengguna domestik.

Program tersebut menggalakkan hospital kerajaan untuk turut memasangnya bukan sahaja kepada fasiliti kesihatan swasta.

“Saya memberikan komitmen bahawa PETRA akan meneruskan usaha untuk merangka lebih banyak program khusus bagi membolehkan rakyat mendapat lebih banyak manfaat daripada penerapan teknologi solar untuk penjanaan bekalan elektrik melalui pemasangan sistem solar PV di premis kediaman,” jelasnya lagi.